Sunday, October 18, 2009

merokok dalam islam...

Merokok dan Islam

Rokok mula diperkenal di dalam budaya Islam lebih kurang 500 tahun dahulu semasa zaman
kerajaan Othmaniah. Sejak itu budaya tersebut mula berkembang dan mendapat sambutan dan
mengakibatkan ramai orang-orang islam mulai menjadikannya sebagai satu tabiaat.

Menyedari tentang kesan buruknya kepada moral dan kesihatan Sultan Murad IV ( 1623-1640)
pernah mengharamkan rokok. Beliau merupakan pemerintah pertama di dunia yang melaksanakan
undang-undang tersebut dan pernah menutup kedai-kedai kopi dimana para perokok berkumpul.

Namun begitu analisa terkini yang dijalankan dalam kalangan penduduk dunia, mendapati
peratusan perokok di negara-negara di mana penduduk majoritinya adalah
muslim secara umumnya
adalah lebih tinggi, contohnya di Indonesia peratusan perokok lelakinya ialah 64 %,
Yaman 77%, Jordan 49 % dan Syria 48 %. Ini merupakan fenomena yang amat menyedihkan.

Kajian yang dijalankan di England juga mendapati komuniti muslim di sana yang terdiri
daripada penduduk Bangladesh dan Pakistan turut mempunyai kadar merokok yang lebih tinggi
iaitu masing-masing 40% dan 29% berbanding dengan kadar merokok di England iaitu 24 %.

Dalam satu kajian yang dijalankan ke atas 30 negara yang mempunyai majoriti pendduduk Islam
di dapati purata kadar merokoknya jauh lebih tinggi berbanding dengan negara-negara membangun
yang lain seperti Britain dan Kanada.

Amat malang juga di sesetengah negara seperti di Indonesia dan Pakistan, merokok merupakan
industri yang amat penting yang melibatkan berjuta-juta pekerja.Keadaan ini mendedahkan
masyarakat Islam kepada bahaya merokok baik secara
langsung atau tidak langsung.

Perokok akan mengalami masalah kesihatan yang berkaitan
dengan rokok. Kerajaan negara terbabit terpaksa memperuntuk dana yang besar bagi mengurus
sistem kesihatan dan mengurangkan peruntukan untuk aspek pembangunan yang lain seperti
pendidikan, kebajikan yang secara tidak langsung akan menjejaskan semua penduduk lain samada
perokok atau tidak.


Hukum Merokok

Isu merokok sebenarnya bukanlah isu baru dalam kalangan ulama islam. Sejak ia mula
diperkenalkan di dunia islam iaitu sekitar tahun 1000 hijrah mereka telahpun mengeluarkan
hukumnya. Walaupun hukum merokok tidak disebut secara langsung daripada Rasulullulah s.a.w
atau Al-Quran namun Islam dengan sifatnya yang universal dan komprehensif telah menggariskan
panduan yang jelas untuk umatnya dalam menghadapi pelbagai perkara yang sedang dan akan

berlaku pada umatnya. Ini membolehkan umat islam menjalani kehidupan yang sejahtera
walaupun mereka berada jauh daripada zaman kehidupan nabi dan al-Quran diturunkan.

Namun begitu fatwa berkaitan merokok telah mengalami transformasi sejak mula ia
diperkenalkan 500-600 tahun di dalam dunia Islam sehinggalah zaman kini, ia sejajar
dengan perkembangan sains dan bukti-bukti baru yang berkaitan dengan kesan merokok muncul.

Secara umumnya Islam menggariskanapabila tidak terdapat nas yang nyata maka sesuatu hukum
itu menjadi harus. Begitu juga dengan rokok, ia bukan perkara yang disebut secara khusus
di dalam quran dan hadith.

Pada ketika ia mula diperkenalkan belum terdapat kajian yang
mendalam berkaitan rokok, maka ulama hanya menghukumkannya berdasarkan kepada perkara yang
nyata terhadap rokok tadi. Sebab itulah pada peringkat awalnya kebanyakan para ulama
berpendapat bahawa hukum merokok adalah
harus atau makruh.

Makruh kerana ia menyebabkan bau busuk yang boleh menganggu orang lain khususnya
semasa berjemaah di masjid dan ia dikiaskan dengan memakan bawang atau bawang putih yang
boleh menganggu jemaah ketika bersolat di masjid..

Walaupun ketika itu kajian berkenaan rokok masih belum meluas dan mendalam,
namun hampir kesemua ulama yang muktabar berpendapat bahawa rokok atau tembakau adalah
termasuk di dalam perkara yang kabaaith atau perkara yang keji yang di larang
oleh Allah s.w.t. sebagaimana firmannya dalam surah Al-Araaf ayat 157.

Yang bermaksud
"Iaitu orang-orang yang mengikut Rasullah (Muhammad s.a.w.) Nabi yang Ummi, yang mereka
dapati tertulis (namanya dan sifat-sifatnya) di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi
mereka. Ia menyuruh mereka dengan perkara-perkara yang baik, dan melarang mereka daripada
melakukan perkara-perkara yang keji; dan menghalalkan bagi mereka segala
benda yang baik,
dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk; dan ia juga menghapuskan dari mereka
beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada mereka. Maka orang-orang yang beriman
kepadanya, dan memuliakannya, juga menolongnya, serta mengikut nur (cahaya) yang diturunkan
kepadanya (Al-Quran), mereka itulah orang-orang yang berjaya".

Mereka juga berpendapat merokok termasuk di dalam perkara yang memabukkan dan melalikan
seseorang yang juga dilarang di dalam hadith-hadith nabi s.a.w
Dalam suatu hadith di dalam sahih Bukahri yang diriwayatkan oleh Umar r.a
Sesuatu yang memabukkan adalah arak dan setiap arak adalah haram

Dan di dalam suatu hadith riwayat Muslim disebut
“Sesuatu yang memabukkan adalah haram”

Dalam suatu hadith yang diriwayat oleh Imam Ahmad dan Abu Daud daripada Ummu Salamah beliau meriwayatkan nabi menyebut “ Sesungguhnya Rasulullah mengharamkan sesuatu yang
memabukkan atau mengkhayalkan”
Namun dengan perkembangan sains dan dengan munculnya banyak bukti-bukti yang mengatakan rokok dan tabiat menghisap rokok memang terbukti memberi mudarat kepada kesihatan. Dalam laporan yang dikeluarkan US General Surgeon yang merupakan badan tertinggi perubatan di Amerika Syarikat pada tahun 1964 berdasarkan kepada ratusan kajian saintifik yang dijalaakan membuat kesimpulan bahawa merokok terbukti memberi kesan buruk kepada kesihatan. Dalam laporan berikutnya hinggalah dalam laporan terbarunya pada tahun 2006 bukti-bukti yang menunjukkan merokok memudaratkan kesihatan semakin bertambah nyata. Justeru itu ia menambahkan lagi keyakinan para ulama untuk memberikan fatwa bahawa hukum merokok tidak lagi harus atau makruh tetapi lebih kepada haram.

Berikut disertakan pandangan pelbagai mazhab berkaitan dengan masalah rokok dan merokok.


Mazhab Hanafi

Ulama mazhab Hanafi seperti yang dinyatakan oleh Sheikh Muhammad al-Ayani di dalam kitabnya
bahawa hukum merokok adalah haram dan terdapat empat sebab mengapa merokok diharamkan
1. Kenyataan daripada doktor dan mereka yang pakar dalam bidang tersebut megesahkan
bahawa merokok memberi kesan yang tidak baik kepada diri seseorang, dan sebarang perkara
yang membahayakan diri seseorang adalah dilarang mengikut pandangan majoriti ulama
2. Pakar perubatan mengatakan bahawa ia merupakan sejenis dadah (menyebabkan kesan
ketagihan dan memabukkan). Oleh itu ianya di larang di dalam Islam. Walaupun kesan
memabukkannya tidak seperti arak tetapi ia memberi kesan mengkhayalkankan dan juga kesan
ketagihan seperti yang telah bincangkan dalam bab-bab yang lepas.
3. Baunya yang busuk dan akan menggangu orang lain terutamanya ketika sembahyang
berjemaah
dan juga menjauhkan diri daripada malaikat sebagaimana dalam hadith sahih

“Sesiapa yang memakan bawang putih dan bawang hendaklah menjauhkan diri daripada kami dan
masjid dan tinggal di rumah sahaja”

Dan daripada Jabir r.a
“Malaikat merasa benci terhadap sesuatu yang manusia juga merasa benci”.

4. Ia merupakan pembaziran dan perbuatan yang berlebih-lebihan disebabkan ia tidak
mengandungi sebarang manafaat tambahan pula pakar-pakar perubatan sepakat mengatakan
bahawa ia memang mendatangkan kemudaratan kepada diri seseorang.


Mazhab Hambali

Di dalam kalangan mazhab hambali menurut pandangan Sheikh Abdullah bin Muhammad bin Abd
Wahab selepas menyebut tentang bukti-bukti terhadap pengharaman arak menyebut bahawa adalah
amat jelas seperti yang di sebutkan oleh Rasulullah s.a.w bahawa
perbuatan merokok adalah
dilarang di dalam islam dan sesungguhnya ia adalah memabukkan khususnya jika diambil dengan
banyak dan juga boleh merosakkan akal fikirannya serta orang yang berada disekelilingnya
tanpa mereka ketahui. Dan kita hendaklah berlindung daripada Allah daripada perbuatan yang
merosakkan diri ini.

Pengharaman tersebut bersandarkan kepada hujah bahawa merokok boleh menyebabkan kesan
memabukkan dan khayal terutama bagi mereka yang tidak biasa atau pertama kali mencubanya
walaupun bagi mereka yang sudah menjadikannya sebagai tabiaat tidak akan merasa apa-apa.

Ia juga dikategorikan sebagai bahan yang keji atau menjijikan

Kedua-dua sebab tersebut sahaja sudah cukup untuk menghukumkan bahawa merokok adalah haram
apatah lagi jika ia disokong dengan bukti bahwa perbuatan merokok akan menyebabkan kerosakan
kepada tubuh badan.

Mazhab Shafie

Menurut pendapat kebanyakan ulama mazhab Shafiee pula merokok termasuk perkara yang
diharamkan.

Walaubagaimanapun ada pandangan yang mengatakan bahawa mengambilnya sekali sekala adalah
termasuk di dalam dosa kecil. Namun dosa kecil akan menjadi dosa besar jika ianya bersifat

1. Melakukannya secara berterusan
2. Merasa seronok melakukannya
3. Berbangga dengan apa yang dilakukannya
4. Menjadi ikutan orang lain
5. Tidak menghiraukan tentang kesannya iaitu meremehkan tentang perbuatannya itu.

Kebanyakan perokok akan mengalami ketagihan dan terpaksa meneruskan perbuatan merokok.
Oleh itu ia jelas menunjukkan bahawa menerus dan mengekalkan perbuatan merokok adalah haram

Mazhab Maliki

Menurut Syeikh Khalid bin Ahmad salah seorang ulama dalam mazhab ini dalam jawapannya
kepada isu merokok
menyebut;

Tidak dibenarkan orang yang merokok menjadi imam dan seperti mana benda-benda yang
memabukkan maka urusan jual beli rokok adalah diharamkan.

Takrifan merokok yang digunapakai dalam memutuskan hukum berkenaannya termasuklah sebarang
penggunaan bahan-bahan yang berasaskan tembakau samada dalam bentuk rokok biasa, paip,
cerut atau kunyah yang kerana memberikan kesan yang sama kepada penggunanya.

Disebabkan merokok termasuk perbuatan yang diharamkan maka segala perkara yang berkaitan
dengan rokok seperti membuat, menjual atau memberikan rokok kepada orang lain juga tidak
dibenarkan kerana ia akan menyumbangkan kepada perbuatan merokok.

Kesimpulannya bahawa merokok sebenarnya merupakan racun masyarakat yang membunuh
struktur masyarakat secara perlahan-lahan. Ia merosakan masyarakat dari sudut kualiti dan
ekonominya.

Dr Harmy Mohamed Yusoff
Family Medicine

No comments:

Post a Comment